Sunday, December 19, 2010

Bola sepak negara mula bangkit

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kejayaan pasukan kebangsaan melangkah ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF sebagai isyarat sukan bola sepak di negara ini mula menunjukkan kebangkitan.

Perdana Menteri berkata, semangat yang tinggi di samping disiplin yang mantap menjadi faktor utama kepada pasukan kebangsaan berjaya mengekang serangan bertali arus skuad Vietnam.
''Kejayaan ini merupakan satu titik perubahan buat pasukan Malaysia yang mula menunjukkan kebangkitan dalam sukan bola sepak tanah air yang telah lama diharapkan oleh rakyat.

''Keputusan seri itu tidak penting kerana apa yang paling utama ialah skuad negara telah menunjukkan semangat kerjasama yang kukuh dan mereka juga menerima arahan jurulatih dengan baik untuk mengekalkan corak permainan berdisiplin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan secara langsung antara Malaysia menentang Vietnam yang ditayangkan di skrin besar di Jalan Bukit Bintang di sini, malam ini.
Pada perlawanan separuh akhir kedua itu, skuad kebangsaan berjaya mengikat pasukan tuan rumah dengan keputusan seri tanpa jaringan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi dan sekali gus melayakkan Malaysia ke saingan akhir menentang lawan sama ada Filipina atau Indonesia yang akan turun beraksi esok.

Lambang perjuangan harimau malaya 

Lambang kebangkitan Penyokong Setia Bola sepak Malaysia 


Perjuangan malaya 



‘Ultras Malaya’ setia
Oleh BADRUL KAMAL ZAKARIA
KETIKA Malaysia menundukkan Vietnam 2-0 pada perlawanan pertama separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu lalu, ada sesuatu perkembangan positif terserlah.
Ini berikutan peningkatan mendadak penyokong hingga hampir memenuhi ruang stadium.


Ternyata peminat bola sepak tempatan masih menaruh harapan tinggi terhadap bola sepak negara dan mereka pada masa sama mengharapkan skuad kebangsaan mengulangi sejarah kegemilangan keera Allahyarham Mokhtar Dahari.

Paling menarik pada perlawanan itu ialah kehadiran sekumpulan kira-kira 300 penyokong setia pasukan Harimau yang menggelarkan diri mereka ‘Ultras Malaya’ di satu sudut berhampiran papan markah stadium.


Mereka tanpa segan membingitkan stadium dengan laungan semangat berapi, menyanyikan lagu patriotik, mengibarkan Jalur Gemilang dan membawa sepanduk tertera kata-kata pembakar semangat buat pemain negara.



Istimewanya Ultras Malaya ini ialah keahliannya terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama memberi sokongan padu kepada pasukan negara setiap kali mereka beraksi.

Buat julung kali, ahli Ultras Malaya dari Sabah dan Sarawak turun ke Stadium Nasional untuk berpadu sorak bersama rakan mereka dari Semenanjung.


Lebih mengharukan, ahli Ultras Malaya bergerak hanya melalui laman web UltrasMalaya.net (UMN) dan kebanyakan mereka tidak mengenali satu sama lain.

Mereka hanya bertemu di stadium ketika bersorak membangkitkan semangat skuad kebangsaan, seolah-olah sudah lama berkenalan.


Mereka bukan saja hadir ke stadium, malah jika pasukan negara beraksi di luar negara, Ultras Malaya akan berkumpul beramai-ramai di beberapa venue seperti kedai mamak atau bistro bagi menyaksikan perlawanan.



Malah prinsip 1Malaysia turut menjiwai Ultras Malaya kerana ia turut disertai remaja Melayu, Cina, India dan kaum lain.



P/s : TAHNIAH buat semua penyokong bola sepak malaysia yang menjadi permain ke-12 dalam squad malaysia ..terusakan perjuangan ..perjuangan belum selesai ..




Monday, December 6, 2010

Takwim Hijrah Semakin jauh di hati generasi muda

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my


APABILA dilontarkan soalan mengenai urutan nama-nama bulan Islam kepada 10 anak muda kini, tidak mustahil sembilan daripada mereka terdiam atau tergagap-gagap menyebut satu demi satu bulan Islam.
Sementara yang seorang lagi pun, mungkin berjaya menamakan bulan-bulan Islam selepas menyanyi perlahan sebuah lagu bertajuk Bulan-bulan Islam nyanyian kumpulan nasyid Alarm Me yang pernah dihafalnya ketika di bangku sekolah.
Bagi kebanyakan anak muda, mereka sekadar tahu nama bulan-bulan tertentu yang melibatkan perayaan seperti bulan Ramadan, Syawal, Muharam dan Zulhijjah.
Senario sebegitu adalah gambaran umum mengenai betapa jauhnya takwim Islam di hati anak-anak muda kini berbanding takwim Masihi yang kita gunakan setiap hari.
Jika ada antara kita yang menghafal bulan-bulan Islam sekali pun, mungkin ada segelintirnya yang tidak tahu mengenai sejarah takwim Islam itu sendiri.
Bila ia bermula dan siapa yang mencetuskan takwim tersebut?
Hijrah Rasulullah
Menurut Ketua Penolong Pengarah Cawangan Falak, Bahagian Penerangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Che Alias Che Ismail, kalendar Islam ataupun takwim Hijrah dimulakan oleh Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar al-Khattab.
Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah telah dijadikan asas kepada penetapan permulaan sambutan Maal Hijrah, kalendar Islam ataupun takwim Hijrah.
Asas pembinaan takwim Islam sebenarnya telah digambarkan di dalam al-Quran iaitu Surah Yunus Ayat 5 yang bermaksud:
‘Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.
‘Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya.'
“Sebelum dilaksanakan penetapan takwim Hijrah ini dan semasa hayat Rasulullah SAW, takwim yang digunakan ialah sistem takwim Qamariyah (sistem hitungan bulan).
“Penentuan tahun pula dirujuk kepada tahun berlakunya sesuatu peristiwa atau kejadian seperti tahun gajah, peperangan al-Fijar, tarikh pembinaan Kaabah dan sebagainya. Cara penetapan sedemikian tidak boleh dijadikan pegangan kerana catatannya tidak menggunakan kaedah yang tetap dan seragam,” jelasnya.
Tambah Che Alias, segalanya bermula pada tahun 17 Hijrah iaitu tahun keenam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Saidina Umar al-Khattab bersetuju dengan cadangan Saidina Ali Abi Talib supaya menjadikan tahun Rasulullah SAW berhijrah sebagai tahun pertama bagi takwim Hijrah.
Saidina Uthman Affan pula mencadangkan supaya bulan Muharam adalah bulan pertama dalam sistem takwim Hijrah walaupun tarikh sebenar Rasulullah berhijrah adalah pada akhir bulan Safar dan tiba di Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awal bersamaan 24 September 622 Masihi.



Tambahnya, bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan mengenai bulan-bulan Islam ini perlu diterapkan pada peringkat pendidikan anak-anak, bermula di peringkat rendah, menengah dan seterusnya ke peringkat tinggi.
“Kini sudah banyak yang menggunakan tarikh-tarikh hijrah sebagai contoh di akhbar-akhbar dan di dalam takwim-takwim yang sedia ada.
“Walaupun sambutan tahun baru Hijrah tidak semeriah tahun baru Masihi, ini tidak bermakna mereka tidak mengenali tahun Hijrah.
“Kita lihat tahun baru Masihi lebih meriah diraikan kerana budaya dan amalan masyarakat berbilang kaum di negara ini mengikut cara sambutannya di seluruh dunia,” ujar Ismail.
Berbeza pengisian
Cara meraikan sambutan tahun baru Islam juga berbeza pengisiannya berbanding tahun baru Masihi yang sinonim dengan pelbagai jenis hiburan yang melalaikan.
“Sebagai mengimbanginya, kita juga meraikan tahun baru Masihi dengan cara mengadakan forum-forum dan acara-acara keagamaan bagi mengingati syiar Islam dan kebesaran Allah.
“Selain itu, sambutan Maal Hijrah juga disambut meriah dengan pelbagai program seperti perarakan, perjumpaan Maal Hijrah di negeri-negeri seluruh negara, pengurniaan Tokoh Maal Hijrah dan sebagainya,” katanya.
Ismail menyarankan, cara terbaik untuk menimbulkan kesedaran mengenai bulan-bulan Islam adalah mengaitkannya dengan peristiwa yang berlaku dalam keluarga seperti pertunangan, perkahwinan, kelahiran dan sebagainya.
Di sekolah pula, takwim Islam mungkin boleh disertakan dengan tahun Masihi bagi mendedahkan generasi muda mengenai takwim Islam.
Selain itu katanya, kalendar-kalendar sepatutnya disertakan dengan tarikh-tarikh Islam kerana di Malaysia takwim Islam sudah ditetapkan sepanjang tahun.

Rahsia di sebalik bulan Muharram

oleh khairole

Tahukah anda apakah rahsia di sebalik bulan Muharram?


Muharram merupakan bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Hijrah Rasulallah dari Mekah ke Yathrib kiraan bulan dibuat mengikut tahun masihi. Hijrah Rasulullah telah memberi kesan besar kepada Islam samada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.Pada asasnya, Muharram membawa maksud “diharamkan” atau “dipantang” iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Mekah. (Al Baqarah 91).Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan tersebut.

Peristiwa-peristiwa penting:

1. 1 Muharram – Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
2. 10 Muharram – Dinamakan juga hari “Asyura” pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah dari menegakkan keadilah dan kebenaran.

Pada 10 Muharram juga telah berlaku:

1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama 6 bulan
4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah
8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam
10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun
11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah
12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar
13. Hari pertama Allah menciptakan alam
14. Hari Pertama Alllah menurunkan rahmat
15. Hari pertama Allah menurnkan hujan
16. Allah menjadikan ‘Arasy
17. Allah menjadikan Luh Mahfuz
18. Allah menjadikan alam
19. Allah menjadikan Malaikat Jibril
20. Nabi Isa diangkat ke langit

Diantara amalan yang disunatkan dalam bulan Muharaam iaitu:

1. Berpuasa.
Maksud Hadis: barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan
Muharram pahalanya seumpama berpusasa 30 tahun.
Maksud Hadis:Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam
bulan Muharram iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah
tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijjah selepas Asar sebanyak 3X
4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3X

14 perkara yang sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram )

1. Melapangkan masa / belanja anak isteri
fadhilat – Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin
fadhilat – Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti
3. Menahan marah
fadhilat – Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang ridha
4. Menunjukkan orang sesat
fadhilat – Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya
5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim
fadhilat – Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi
tiap-tiap rambut yang di sapunya.
6. Bersedekah
fadhilat – Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor
gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi
pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7. Memelihara kehormatan diri
fadhilat – Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
8. Mandi Sunat
fadhilat – Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itu
lafaz niat : sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.
9. Bercelak
fadhilat – tidak akan sakit mata pada tahun itu
10.Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali
fadhilat – Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat
nanti
11 Sembahyang sunat empat rakaat
fadhilat – Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan
selama 50 tahun melakukannya.
lafaz niat : sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat
kerana Allah Taala. Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di
baca Qulhuwallah sebelas kali.
12 Membaca
“has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wa nikmannaseer”
fadhilat – Tidak mati pada tahun ini
13.Menjamu orang berbuka puasa
fadhilat – Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
14.Puasa
Niat – Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala.
fadhilat – Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu
kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Semoga bermanfaat dan dapat dipanjangkan kepada yang lain-lain.

Mencari makna baru di sebalik peristiwa hijrah

GENERASI muda Islam perlu dilengkapkan dengan ilmu dunia dan akhirat untuk menjadi insan cemerlang. Ummah mesti jadikan sejarah penghijrahan, perjuangan Rasulullah pencetus kejayaan.

SEBAGAI junjungan besar yang sentiasa diagungkan oleh umat Islam, segala detik peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sentiasa dianggap penting dan bermakna oleh masyarakat Islam.

Nabi Muhammad, bagi mereka bukan manusia biasa yang boleh diletakkan beriringan dengan sosok lain dalam sejarah kemanusiaan. Baginda adalah rasul junjungan dan insan kamil yang diutus Allah SWT bagi menzahirkan kesempurnaan akhlak manusia.

Baginda manusia paling tinggi martabat kerohaniannya dan paling disayangi Allah SWT. Walaupun Baginda seperti manusia lain, hadir dalam latar lingkungan sejarah dan geografi tertentu, peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan Baginda tetap mengungkapkan pengajaran sejagat yang sentiasa abadi dan segar kepada diri setiap Muslim.

Begitu juga peristiwa hijrah yang dilalui Nabi Muhammad SAW. Ia adalah detik perpindahan dakwah Nabi daripada peringkat pertama di Makkah yang penuh mihnah pesona serta cabaran yang amat mencengkam ke tahap mengancam nyawa Baginda sendiri, ke peringkat kedua di Madinah yang lebih meluas ruang dakwahnya serta menjanjikan cahaya kemenangan.

Dari segi pensyariatan agama, hijrah adalah dasawarsa baru dalam pelaksanaan undang-undang agama yang lebih berasaskan muamalah dan kemasyarakatan berbanding peringkat Makkah yang lebih tertumpu kepada pengukuhan akidah serta pandangan alam Islam. Namun, di sebalik dimensi sejarah yang selalu diulang sama ada dalam pengajian sirah atau pada siri ceramah maal hijrah, peristiwa ini sesungguhnya menyampaikan kita kepada beberapa pengajaran lebih mendalam dan amat terkait untuk kehidupan sekarang.

Antara hikmah penting di sebalik peristiwa hijrah yang harus diteladani terutama umat Islam zaman ini yang berdepan pelbagai fitnah dan cabaran ialah gambaran sikap realistik serta kebijaksanaan nabi apabila berdepan cabaran dan ancaman semasa.

Di samping hakikat bahawa Nabi Muhammad SAW ialah insan terpilih dan terbaik di kalangan seluruh makhluk Allah, insan yang mustajab doanya dan dikurnia mukjizat, kehidupan nabi juga seperti manusia lain menurut sunnatullah yang tidak lari daripada cabaran dan pedih getir kehidupan. Dengan kata lain, kehidupan Nabi Muhammad SAW juga terikat dengan batasan manusiawi yang terpaksa melalui pelbagai ranjau perjuangan hidup. Inilah yang terjelma antara lain daripada peristiwa hijrah Baginda apabila sunnatullah mengajar golongan lemah walaupun amat sukar mengalahkan pihak lebih kuat terutama yang mempunyai persediaan.

Sebagai golongan yang baru muncul, kecil jumlahnya dan kurang persiapan, tekanan serta ancaman yang ditujukan kaum Musyrikin di Makkah ternyata terlalu kuat untuk dihadapi Baginda dan umat Muslimin ketika itu. Justeru, perpindahan dari Makkah bagi menyelamatkan golongan Muslimin tidak dapat dielakkan.

Nabi Muhammad SAW perlu mencari ruang dan kekuatan baru di Madinah untuk memperkukuhkan kedudukan agama Islam. Apakah noktah pengajaran yang dapat diambil masyarakat Islam sekarang daripada hakikat hijrah Baginda?

Jika Nabi Muhammad SAW insan terpilih yang dikurniakan Allah SWT pelbagai bentuk mukjizat menyedari hakikat bahawa Baginda harus bertindak berdasarkan waqi’ semasa, berdasarkan kekuatan dan kelemahan manusiawi, umat Islam dewasa ini pasti harus lebih menyedari mengenai waqi’ kehidupan yang melingkungi mereka. Secara umumnya, masyarakat Islam memang berada dalam keadaan lemah. Dilihat dari segi fizikal dan ketenteraan, kekayaan ekonomi, malah kesatuan, mereka agak tertinggal berbanding masyarakat lain terutama Barat.

Namun, ada sekelompok masyarakat Islam yang gagal menyedari hakikat ini lantas bertindak seolah-seolah mereka berada di dalam keadaan yang kuat. Mereka mengambil tindakan di luar batasan waqi’ semasa yang ada pada masyarakat Islam. Ini merujuk tindakan sekelompok umat Islam yang mengebom, menculik serta membunuh membabitkan manusia tidak berdosa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Kita tidak menafikan sebahagian peristiwa itu adalah tindak balas terhadap tindakan politik yang dilakukan kuasa besar terhadap beberapa negara Islam atau perencanaan pihak tertentu.

Namun, cara bertindak yang dilakukan ternyata tidak menguntungkan masyarakat Islam keseluruhan terutama apabila dilihat dari sudut kekuatan ummah dan kesediaan mereka menghadapi tindakan balas jika berlaku.

Kita lihat sebahagian besar tindakan seperti ini sekadar mengundang tindakan balas lebih buruk kepada masyarakat Islam seperti di Afghanistan dan Iraq. Paling penting tindakan ini turut menggambarkan kerangka pemikiran ekstrem hasil kekeliruan mengenai ajaran Islam.

Di sinilah pentingnya pengajaran peristiwa hijrah yang merakamkan Nabi Muhammad SAW bertindak berdasarkan kekuatan dan kemampuan Baginda apabila mengambil keputusan untuk melakukan hijrah. Dengan kata lain, peristiwa hijrah memberi iktibar bahawa kita harus mengumpul kekuatan dan tidak bertindak menzahirkan kekuatan sebelum masanya, apatah lagi bertindak di luar kebijaksanaan. Sesungguhnya ini antara makna hijrah baru yang harus kita manfaatkan dalam realiti kehidupan sekarang.

Dengan menyedari bahawa umat Islam berada dalam keadaan lemah bukan bermakna kita pasrah dengan keadaan yang ada. Di samping ingatan bahawa umat Islam harus terus memperbaiki kelemahan mereka dan mempersiapkan kekuatan fizikal seperti disaran al-Qur’an, seperkara yang juga penting ialah hakikat kekuatan Islam sebenarnya masih boleh dijelmakan dalam pelbagai dimensi lain.

Misalnya umat Islam masih kuat dan kukuh dari segi kepercayaan agama dan akhlak, terutama dalam menolak fahaman yang bertentangan dengan agama. Berbanding Islam, sebahagian agama lain misalnya, sudah berkompromi dan mengorbankan doktrin agama mereka dengan membuka pintu kepada kemasukan aliran asing seperti sekularisme dan sinkretisme.

Disebabkan kelemahan sistem kepercayaan mereka, agama terbabit mengubah dasar dan kepercayaan bersesuaian dengan ideologi berkenaan. Namun, Islam berkat kekuatan pendidikan agama dan pertahanan ilmiah yang dilakukan ilmuwannya sepanjang zaman masih kukuh bertahan daripada ancaman aliran pemikiran asing.

Kekuatan Islam ini harus dipertahan dan diperkukuhkan melalui pendidikan yang betul tanpa semestinya membabitkan penzahiran dari segi kekuatan fizikal dan ketenteraan. Dari segi strategi, umat Islam memang lemah kekuatan fizikal, seharusnya mereka menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan aspek keilmuan dan pendidikan.

Tindakan ini juga adalah jihad besar dan harus dilakukan dengan gigih dan serius, malah ia juga ‘peperangan’ yang membabitkan persediaan kekuatan dari segi intelektual dan keilmuan. Jika kita prihatin terhadap pembunuhan dan serangan ke atas negara Islam oleh kuasa Barat, kita juga harus lebih prihatin terhadap serangan pemikiran asing yang ‘mengorbankan’ dan mengelirukan jutaan masyarakat Islam.

Peperangan inilah yang nampaknya banyak dilupakan sebahagian masyarakat Islam apabila kerangka berfikir mereka amat tertumpu kepada penyelesaian daripada aspek siasah dan ketenteraan. Jika ditinjau dari segi sejarah, aspek inilah yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun. Zat kepada kekuatan Islam, dengan kata lain ialah kekuatan kepercayaan dan keilmuan. Mungkin ini antara makna dan rahsia hijrah yang harus diingatkan kepada masyarakat Islam. Hijrah bukan sekadar berpindah kepada suasana baru, malah juga mengembalikan diri kita kepada suasana yang kita sudah pun berada sebelumnya.

Jika sebelum ini tamadun Islam terletak kepada kekuatan iman dan ilmu, marilah kita berusaha berhijrah dengan mengembalikan kekuatan itu kepada umat Islam.

- Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tuesday, November 9, 2010

Ekonomi Malaysia kembali gemilang

Kegemilangan ekonomi Malaysia mampu mengulangi sejak zaman kegemilangannya tahun depan seperti pada tahun 1992 menjadi kayu penanda aras kecenderungan aliran ekonomi hari ini.

namun ,situasi itu mungkin berulang berikutan beberapa faktor penyumbang yang dialami pada masa ini adalah sama.

''Antara faktor utama adalah pertumbuhan ekonomi perlahan yang berlaku di ekonomi-ekonomi maju, terdapat lebihan akaun semasa yang kukuh dan penurunan kadar faedah seben

1) Perancangan kerajaan terutama Program Transformasi Ekonomi (ETP), platform khas ke arah menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi (gabungan Kerajaaan dan Pihak swasta)

2) pasaran baharu muncul Asia (AEM) akan menjadikan rantau berkenaan tempat yang terbaik untuk melabur berikutan asas, korporat dan lembaran imbangan kerajaan yang kukuh.

3) Penawaran peluang -peluang pertumbuhan, pada tahun depan, iaitu dalam tumpuan kepada mengekalkan modal dan pelaburan.

4) momentum pertumbuhan rantau adalah menggalakkan dengan Indeks Pengurusan Pembelian China (PMI) berada pada kadar melebihi 50 yang bermaksud peningkatan pengeluaran pada September berbanding sebulan lalu, manakala Indonesia akan terus menyaksikan peningkatan perbelanjaan dan kekal berada dalam kedudukan positif.

Dari apa yang kita lihat dan baca mengenai Model Ekonomi Baru Dan Program transformasi ekonomi (ETP) di mana peranan kita sebagai golongan berpendapatan rendah dapat meningkat sejajar dengan transformasi yang di war2 kn oleh kerajaan .

untuk sama menjadi sebahagian daripada tranformasi ini kita harus la mempunyai "mind set" baru , modal insan, pengetahuan dan kemahiran.

oleh itu sebagai rakyat kita patut mengambil peluang daripada pertumbuhan ekonomi yang baik dalam meningkatkan ekonomi kita pada tahap yang lebih tinggi ..

Saturday, August 28, 2010

Menuju Kearah Seorang Jurukur Bahan (QS) Profesional


Setelah empat(4) bulan memasuki alam pekerjaan sebagai soerang jurukur bahan, sememangnya pelbagai perkara yang baru aku tahu & perlu lebih belajar lagi …
Di alam pekerja sememangnya memerlukan pekerja yang cekap, pantas & kemahirann tinggi , sekarang aku jadikan masa ini dalam tempoh 2 tahun ini sebagai proses pembelajaran selepas 2 tahun baru aku dapat mengumpul pengalaman dan kemahiran
Namun, sebagai seorang QS setiap akan melalui pengalaman yang lama  seperti kata seorang associates director aku “ pengalaman @ perkara mesti akan terjadi kat kita tapi yang bezanya bagaimana cara dia datang samada dalam keadaan teruk @ keadaan baik , so kita harus bersedia yang kita tahu ia pasti datang “ 

aku akan sentiasa bersedia dan belajar ... untuk menuju kearah seorang QS profesional

Friday, January 29, 2010

500,000 Peluang Pekerjaaan


Lebih 500,000 peluang pekerjaan menanti rakyat tempatan apabila syarikat kawalan keselamatan menawarkan peluang itu kepada anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela).

Mengumumkan khabar gembira itu, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam memberitahu, seramai 1.2 juta anggota Rela dan 110,000 anggota JPAM bakal memenuhi kekosongan tersebut.

Kata beliau, selain dapat membantu mengurangkan tenaga kerja asing, langkah itu juga membantu rakyat tempatan mendapatkan pekerjaan yang lebih menjamin masa depan.

''Anggota JPAM dan Rela ini mahir menggunakan senjata dan berdisiplin, jadi ia sudah tentu tidak menimbulkan masalah kepada syarikat kawalan keselamatan.

''Pada satu peringkat nanti, kita dapat saksikan golongan ini juga akan membantu dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mencegah jenayah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini KDN dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan memeterai perjanjian memorandum persefahaman (MoU) untuk membenarkan anggota JPAM dan Rela berkhidmat sebagai pengawal keselamatan.
Mahmood berkata, usaha kerajaan menggalakkan penglibatan orang awam menyertai pasukan Rela dan JPAM kini maju setapak lagi apabila memberi peluang kepada mereka mendapatkan pekerjaan tetap.

Katanya, selain memperoleh bayaran sebanyak RM6 sejam yang dibayar oleh kerajaan, mereka yang memilih untuk bekerja dengan syarikat kawalan keselamatan juga kini berpeluang memperoleh gaji tetap, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelbagai kemudahan lain.

''Dengan menggunakan khidmat rakyat tempatan, saya yakin beberapa masalah yang dihadapi sebelum ini seperti kemahiran menggunakan senjata api dan masalah komunikasi dapat diatasi," katanya.

Menurutnya, kebanyakan syarikat kawalan keselamatan menggaji pekerja warga Nepal yang menghadapi masalah untuk bertutur dalam bahasa Melayu walaupun mereka dikategorikan sebagai pekerja yang setia.


Peluang kepada rakyat malaysi yang masih menganggur ...

P/S : saper kata kt malaysia xda kerja sambil g oversea nk kerja
        kerja aper pon yang kita buat biarlah berkat 
        dan x memilih kerja 
        aper yang penting kemahuan dan kehendak diri sendiri
        So, tepuk dada tanya selepas ...enjoy..

Thursday, January 28, 2010

Pendapatan per kapita perlu cecah RM52,347


Malaysia perlu meningkatkan sekali ganda pendapatan per kapita negara daripada RM26,415 pada 2008 kepada RM52,347 pada 2020, bagi mencapai status negara maju sejajar Wawasan 2020.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, tahap minimum bagi mencapai status itu berdasarkan definisi Bank Dunia adalah RM50,556.

Justeru, katanya, ekonomi negara perlu berkembang dengan purata sekurang-kurangnya 5.4 peratus bagi tempoh 2011- 2020.

Beliau melahirkan keyakinannya, Malaysia mampu mencapai tahap pendapatan per kapita berkenaan berdasarkan rekod yang telah dicapai.

''Berdasarkan rekod pertumbuhan negara sejak merdeka, ekonomi Malaysia berkembang melebihi enam peratus setahun.

''Pengalaman lalu juga menunjukkan kita berupaya menggandakan pendapatan per kapita dalam tempoh enam tahun iaitu daripada AS$3,843 pada 2002 kepada AS$7,734 pada 2008," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Dialog Rancangan Malaysia Ke-10 dengan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.
Nor Mohamed berkata, walaupun negara turut mengalami kesan kegawatan ekonomi global sehingga menyebabkan pertumbuhan negara menguncup pada suku pertama hingga suku ketiga 2009, suku keempat tahun lalu menunjukkan pertumbuhan positif.

''Ini menambah keyakinan kita selain beberapa kejayaan lepas yang dicapai oleh negara seperti transformasi ekonomi berdasarkan pertanian kepada pembuatan dan perkhidmatan berdasarkan modal sendiri.
''Malaysia juga berjaya mencapai kategori negara berpendapatan pertengahan tinggi berbanding negara-negara lain yang mencapai kemerdekaan pada tempoh yang sama," ujarnya.

Beliau berkata, bagi mencapai pendapatan ekonomi tinggi, negara perlu menumpukan pada aktiviti nilai tambah tinggi termasuk galakan pelaburan yang mempunyai teknologi tinggi dengan tumpuan khusus terhadap sektor yang mampu berkembang, berinovasi dan kreatif.

p/s : adakah rakyat malaysia sudah bersedia untuk menjadikan malaysia sebuah negara maju menjelanag tahun2010..namun masih terdapat ramai masih dalam kesusahan 

Wednesday, January 13, 2010

Kerja Makan Gaji VS Buat Bisnes?



Tahukah anda lebih separuh dari rakyat Malaysia menjana pendapatan dengan makan gaji. Antara tarikan yang paling menarik untuk bekerja makan gaji ialah menerima gaji setiap bulan sama ada melalui cek atau terus dikreditkan ke dalam akaun bank selagi mereka bekerja dengan syarikat tersebut. Ini berbeza dengan orang yang berniaga yang mungkin mengalami kemelesetan bisnes yang seterusnya mengganggu pendapatan mereka.

Antara kebaikan kerja makan gaji:-


  • Memperoleh gaji secara tetap setiap bulan
  • Mudah mendapat pembiayaan pinjaman seperti membeli rumah, kereta, kad kredit dan sebagainya
  • Kemudahan perubatan di klinik panel dan juga rawatan di hospital dibiayai
  • Berpeluang mendapat bonus tahunan
  • Peluang kenaikan pangkat dan pembangunan kerjaya


Selain makan gaji, ada yang menjalankan perniagaan, sama ada kecil, sederhana atau besar. Perniagaan kecil-kecilan adalah seperti menjual nasi lemak, cendol atau goreng pisang di gerai-gerai. (Awas! Walaupun dipanggil perniagaan kecil-kecilan, jangan pandang rendah terhadap mereka kerana pendapatan mereka berkemungkinan jauh lebih besar dari gaji bulanan anda!)

Perniagaan yang bersaiz kecil, jika diusahakan dengan betul akan membuahkan hasil yang lumayan dan mampu berkembang menjadi sebuah konglomerat yang besar dan disegani. Perniagaan yang melibatkan ratusan ringgit pada mulanya boleh mencapai nilai jutaan ringgit. Sebagai contoh, lihat sahaja Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang bermula sebagai peniaga pasar dan akhirnya mencapai status antara orang terkaya di Malaysia.
Antara kebaikan menjalankan bisnes ialah:-


  • Jika bisnes maju, hasil pendapatan boleh mencecah angka yang jauh lebih lumayan daripada kerja makan gaji.
  • Bisnes maju yang dikendalikan oleh pekerja-pekerja yang cekap boleh dijalankan dengan penglibatan minimum oleh pemilik bisnes tersebut.(boleh goyang kaki)
  • Tiada kerenah birokrasi untuk mendapat cuti atau naik pangkat.
  • Boleh membantu masyarakat dengan menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pertumbuhan ekonomi negara.
  • Berpeluang untuk menjadi jutawan dan merasai Kebebasan Kewangan dan Kebebasan Masa.


Apa-apapun, keputusan sama ada nak makan gaji atau buat bisnes bergantung kepada anda sendiri. Bisnes kena bermula dengan minat. Sekiranya anda langsung tiada minat dalam bisnes, saya cadangkan anda makan gaji lagi bagus… Kepada yang berminat untuk menceburi bidang perniagaan, saya nasihatkan anda bertanyakan dulu dari orang yang pakar dalam bisnes tersebut. “Belajar dari yang Pakar” atau “Belajar Dari Pengalaman…” Orang yang berjaya dalam bisnes ialah orang yang jatuh dan terus bangun semula… Sekian…



Sumber: Buat Duit Tanpa Kerja Makan Gaji, Zulkifli Musa.Kerja Makan Gaji VS Buat Bisnes?

PARADIGMA BERJIMAT CERMAT 2010

Kita agak takut menyentuh soal jimat cermat ini. Anda takut dilabel sebagai tangkai jering atau taik hidung masin. Tapi anda tidak pernah bertanya adakah taik hidung mereka manis atau pahit pula? Anda sungguh takutkannya. Anda gerun seperti anda melalui kawasan perkuburan seorang diri pada waktu malam bulan purnama mengambang penuh. Anda sedaya upaya melarikan diri dari topik berkenaan. Jadikali ini kita akan meneliti kenapa sebahagian orang agak segan berjimat.

1. Berjimat sama dengan menahan segala kemahuan

Tidak sekali-kali. Buang sejauhnya anggapan seperti ini. Orang yang mengatakan ini sebenarnya terlebih makan julap. Anda minum dan makan hidangan lazat lagimenyelerakan seperti orang lain cuma bezanya bukan di restoran mewah atau hotel lima bintang. Anda berkenderaan selesa dan selamat untuk memudahkan pergerakan tapi tidak memecut laju seperti pelumba F1. Rumah anda bahagia serta terang benderang tapi menutup suis jika tidak digunakan, saya ternampak peti sejukdan beberapa barangan rumah lain anda juga jenis menjimatkan penggunaan tenaga.Anda kacak malah rajin membersihkan diri tapi tidak membiarkan air mengalir semasa sedang mengosok gigi. Anda saling tak tumpah seperti mereka tapi anda lebih bijak laksana.

2. Banyak benda yang tidak dapat dibeli

Memang benar. Akan ada perkara-perkara yang tidak dapat anda miliki denganberjimat cermat (biasanya perkara remeh saja). Tapi cuba fikirkan ini sejenak,juga adalah benar, walaupun dengan tidak berjimat dan membelanjakan kesemua wang, anda masih tidak akan dapat memiliki kesemua yang anda idamkan.

3. Rasa rendah diri

Ada orang malu untuk membeli pakaian dari pasar malam atau pasar longgok,sesetengah orang memanggilnya sebagai pakaian rombongan. Apa yang menghairankan ialah bukan kerana kualitinya rendah atau pakaian tersebut kurang cantik. Pakaian tersebut elok sebenarnya dan tahan dipakai. Pelik tapi benar. Namun inilah kebenarannya, mereka tidak mahu memakainya kerana ianya barangan murah. Saya tertanya-tanya. Apa yang salah jika ianya murah?

4. Bimbang digelar kedekut

Memang orang lain dengan sewenang-wenang menyamakan perkataan jimat
dengan kedekut. Anda membeli barangan murah, mereka kata anda kedekut.Tapi bila anda membeli sesuatu yang mahal, mereka kata anda pemboros pula.Semuanya tidak betul. Jadi apa yang betul? Anda lakukanlahapa yang anda rasakan betul dan memang betul pun menurutukuran masyarakat dan pegangan. Selagi anda tidak menyebabkan sesiapa cedera, selagi anda tidak menyebabkan sesiapa merana, selagi anda tidak mengambil hak orang lain, selagi anda tidak melanggar undang-undang, selagi anda tidak lupa menunaikan zakat, selagi anda membayar cukai, selagi anda berusaha dengan jujur.. maka anda tidak perlu mendengar kata-kata mereka. Teruskan usaha anda.

Julmazli Dempollok, , e-Kursus Mengubah Paradigma Berjimat KeajaibanPenjimatan.com,

Friday, January 8, 2010

7 Tip Terbaik Pengurusan Kewangan Peribadi 2010

Saya rasa terpanggil untuk menulis serba sedikit mengenai pengurusan kewangan peribadi bagi tahun baru 2010. Oleh kerana kekayaan itu berkaitrapat dengan tatacara pengurusan kewangan yang berhemah maka di sini saya ringkaskan 7 tip umum yang boleh kita gunakan untuk memperolehi kedudukan kewangan yang stabil & baik. Walau bagaimanapun ia cumalah pada pandangan peribadi saya secara umum, terpulang kepada saudara saudari untuk menyesuaikannya dengan keperluan semasa.

1. Mempunyai simpanan dana kecemasan

Adalah amat penting untuk mempunyai 'emergency funds' memandangkan dunia ini penuh dengan ketidaktentuan seperti krisis ekonomi, kemalangan, sakit atau lain-lain yang tidak diduga sehingga menyebabkan kita tidak dapat 'perform' dalam kerja maupun bisnes sepertimana biasa dalam masa yang agak lama. Oleh itu simpanan dana kecemasan boleh dibuat sekurang-kurangnya 3 bulan pendapatan kita. Lebih banyak lagi bagus dan ini seharusnya menjadi disiplin yang kuat utk mengekalkan dana kecemasan ini tidak sewenang-wenangnya diguna tanpa sebab yang munasabah. 'Emergency Funds' ini boleh juga disimpan di dalam ASB atau Tabung Haji yang kelebihannya 'liquid' serta mampu menjana keuntungan dividen tahunan.

2. Membayar bil, kad kredit & hutang tepat pada masanya

Ini penting supaya kita tidak dikenakan caj lewat bayar. Oleh itu buat financial to-do-list setiap bulan supaya kita tidak terlupa membayar mana-mana bil utiliti, Astro, kad kredit, pinjaman pendidikan serta lain-lain. Elakkan duit kita hangus akibat caj yuran lewat bayar atau caj yuran sambungan perkhidmatan Astro dan sebagainya. Saya cadangkan pembayaran semua bil & debt ini dibuat secara online banking tanpa perlu ke kaunter. Sebagai contoh saya menyelesaikan semua bil utiliti, pinjaman pendidikan, credit card di one-stop center Maybank2U. Ini juga satu bentuk penjimatan besar tanpa perlu beratur panjang. di kaunter Jika ia mampu dilakukan maka kita telah menjimatkan banyak duit & masa kita.

3. Spend Less Save More

Amalkan konsep penjimatan dengan apa jua cara yang mungkin boleh diperolehi. Sama ada bawa bekal breakfast & lunch dari rumah, berkongsi kenderaan atau naik pengangkutan awam. Beli barang semasa musim harga rendah (megasale promotion), tawaran penghabisan stok atau acara lelong. Malah boleh beli barang second hand yang masih elok dipakai dengan harga yang jauh lebih murah. Selain itu bersederhana dalam apa jua keadaan dan kita dapat 'save duit' tanpa perlu berbelanja lebih.

Saya suka konsep penjimatan ini, ia merupakan salah satu seni dalam pengurusan kewangan. Dengan berbelanja kurang kita boleh menyimpan lebih banyak wang simpanan atau untuk lain-lain tujuan. Salah seorang member saya sanggup makan maggi seminggu semata-mata nak save duit beli handphone idaman beliau. Ini satu bentuk 'pengorbanan' yg boleh dilakukan tidak kira dalam apa jua bentuk. Saya pula lebih suka berjimat dalam membeli buku-buku ilmiah dan akademik semasa ada special discount di mana-mana Pesta Buku atau web shopping cart pengeluar buku seperti PTS & TelagaBiru.

Selain itu ada juga discount coupon untuk pelbagai jenis web hosting dan domain yang amat bernilai untuk kita jual semula dengan harga yang tinggi. Ini salah satu seni dalam penjimatan dan perniagaan. Jika kita boleh 'spend less' sudah tentu kita dapat 'save more'.. :)

4. Track Your Spending & Identify Wasted Money

Ok, ini satu bentuk pemantauan. Jika kita boleh track segala perbelanjaan harian, bulanan & tahunan sudah tentu kita boleh tahu berapa banyak duit yang keluar. Kenkadang kita akan berbelanja lebih dari kemampuan kita apabila ada kad kredit. Oleh yang demikian jangan jadikan satu habit berbelanja dengan kad kredit melainkan jika kita mampu cover perbelanjaan itu sebaik mungkin. Semak kembali bil bulanan, resit mahupun online banking statement untuk melihat sejauh mana perbelanjaan harian kita. Perlu tahu cash flow in & out supaya kita tahu kedudukan kewangan tidak terlalu 'defisit'.. Mengenalpasti bahagian perbelanjaan yang tidak perlu dan membazir itu dihentikan serta merta. Misalnya merokok dgn sehari saja boleh hanguskan RM6.00 sekotak secara umumnya. Jika boleh minimumkan pembaziran ini dengan berhenti merokok maka ia sudah tentu lebih berbaloi untuk jalani hidup dengan lebih sihat & selamat (kurangkan risiko sakit dan bil hospital). Begitu juga dengan perbelanjaan tahunan seperti road tax, insurans, web hosting/domain fees, income tax dan sebagainya perlu diurus sebaik mungkin. Dengan adanya pemantauan yang sistematik, sudah tentu kita boleh menemui ruang dan cara-cara untuk merancang berbelanja dengan bijak serta lebih efisien & selesa tanpa perlu membazir.

5. Mengambil Polisi Insurans / Takaful

Mempunyai insurans atau takaful adalah satu keperluan masa kini yang amat penting. Kita perlu dilindungi dengan takaful dari segala mara bahaya, sepertimana saya mengambil polisi Prubsn Takaful dengan RM150 sebulan mampu memberi perlindungan Medical Card sebanyak RM 150,000. Ia cukup berguna apabila saya pernah masuk ke dalam wad pada April 2009 lalu. Bertuah mengambil polisi ini lebih awal kerana sebahagian caruman RM50 setiap bulan akan dilaburkan dalam pelan takaful saver. Ia umpama 2 dalam satu. Di samping dapat perlindungan kita juga diberi pelaburan yang menguntungkan !

6. Mempunyai ebiz / autopilot income

Tip yang keenam ini berkaitrapat dengan method passive income atau autopilot income melalui ebiz. Saya cuba jelaskan seringkas mungkin kerana ia cukup 'praktikal' di saat zaman Internet ini. Disebabkan ebiz semakin popular di pelbagai golongan masyarakat Malaysia yang sudah biasa dengan konsep pembelian online. Kita manfaatkan kelebihan ini untuk buat duit secara santai di Internet. Ada orang wat ebiz part time sahaja tapi income dia berpuluh ribu sebulan. Ini sudah tentu dapat membayar kesemua bil & hutang kita lebih pantas serta mencapai matlamat kebebasan kewangan. Saya sarankan saudara saudari mulakan dengan hobi atau minat sendiri. Misalnya orang yang minat menulis boleh buat ebook panduan atau tutorial sebagainya dan jual di internet sptmana Pakej Ebookjutawan. Konsep penulisan ebook ini mudah kerana x melibatkan kos percetakan besar sptmana penulisan buku biasa. Malah ia mampu kekal lama sebagai infoproduk digital yang amat menguntungkan. Manakala jika saudara suka seni grafik boleh jual cd atau video berkaitan grafik seperti mana yang saya buat di Pakej CD Grafik Malaysia, kos cd amat rendah dan keuntungannya lumayan jika dipraktikkan dengan sistematik. Ada banyak lagi hobi yang boleh dikomersilkan, malah ibu suri rumah juga yang suka memasak boleh buat duit dengan memasak sepertimana di mangkuktingkat.com

Ada beratus jenis lagi hobi dan minat yang boleh kita 'monetize' dengan baik. Jika saudara tidak mahu susah-susah buat produk sendiri boleh guna produk orang lain melalui affiliate programme. Kita boleh dapat komisyen dengan menjual produk-produk ini di Internet. Boleh lihat pelbagai jenis peluang mudah melalui Direktori Affiliate Wangcyber. Ada banyak lagi teknik buat duit dengan ebiz secara passive income ini. Download ebook percuma Buat Duit & Cari Duit Dengan Internet yang turut diberikan lesen jualan semula kepada anda. Boleh download dan jual atau sebarkan di web maupun blog korang semua. Konsep ebiz ini sudah semakin popular dan patut dipraktikkan sebagai salah satu penjanaan kekayaan peribadi paling mudah !

7. Sentiasa menambah ilmu pengetahuan mengenai pengurusan kewangan peribadi

Mentor saya amat menyarankan 'upgrade' pengetahuan dengan pelbagai jenis pembacaan buku/jurnal/artikel, seminar, bengkel, forum, web/blog etc. Ini kerana 'otak' adalah aset terbaik manusia yang sudah ada sejak lahir lagi. Jika kita manfaatkan kelebihan otak yang mempunyai minda/akal yang mampu mengeluarkan idea-idea buah fikiran yang hebat tidak kira dalam apa jua bidang termasuklah kewangan peribadi. Oleh itu banyakkanlah rajin membaca, isikan diri dengan pengetahuan supaya tidak membuat kesilapan besar sptmana orang lain. Sebagai contoh membaca artikel saya ini juga satu kelebihan mengetahui tip terbaik kewangan peribadi yang boleh dilakukan semua orang. Malah jika kita rajin bacalah buku mengenai financial management maupun mengenai money making technique sudah tentu kita dapat menguruskan kewangan dengan efisien. Jika kita tahu yang mana silap dan betul dalam pengurusan kewangan sudah tentu ia dapat memberi manfaat strategik pada diri kita. Ini yang spttnya dipraktikkan dari masa ke semasa. Ilmu yang baik akan menjaga kita, untuk menguasai dunia perlukan ilmu dan untuk merebut akhirat juga perlukan ilmu. Bak kata slogan skolah saya dulu.. berilmu, beriman dan beramal... jangan lupa amal setelah mendapat ilmu yang berguna !


Ketahui 7 Tip Terbaik Pengurusan Kewangan Peribadi 2010,Written by code7,Monday, 04 January 2010