Sunday, December 19, 2010

Bola sepak negara mula bangkit

Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kejayaan pasukan kebangsaan melangkah ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF sebagai isyarat sukan bola sepak di negara ini mula menunjukkan kebangkitan.

Perdana Menteri berkata, semangat yang tinggi di samping disiplin yang mantap menjadi faktor utama kepada pasukan kebangsaan berjaya mengekang serangan bertali arus skuad Vietnam.
''Kejayaan ini merupakan satu titik perubahan buat pasukan Malaysia yang mula menunjukkan kebangkitan dalam sukan bola sepak tanah air yang telah lama diharapkan oleh rakyat.

''Keputusan seri itu tidak penting kerana apa yang paling utama ialah skuad negara telah menunjukkan semangat kerjasama yang kukuh dan mereka juga menerima arahan jurulatih dengan baik untuk mengekalkan corak permainan berdisiplin," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan secara langsung antara Malaysia menentang Vietnam yang ditayangkan di skrin besar di Jalan Bukit Bintang di sini, malam ini.
Pada perlawanan separuh akhir kedua itu, skuad kebangsaan berjaya mengikat pasukan tuan rumah dengan keputusan seri tanpa jaringan pada perlawanan yang berlangsung di Stadium My Dinh, Hanoi dan sekali gus melayakkan Malaysia ke saingan akhir menentang lawan sama ada Filipina atau Indonesia yang akan turun beraksi esok.

Lambang perjuangan harimau malaya 

Lambang kebangkitan Penyokong Setia Bola sepak Malaysia 


Perjuangan malaya 



‘Ultras Malaya’ setia
Oleh BADRUL KAMAL ZAKARIA
KETIKA Malaysia menundukkan Vietnam 2-0 pada perlawanan pertama separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu lalu, ada sesuatu perkembangan positif terserlah.
Ini berikutan peningkatan mendadak penyokong hingga hampir memenuhi ruang stadium.


Ternyata peminat bola sepak tempatan masih menaruh harapan tinggi terhadap bola sepak negara dan mereka pada masa sama mengharapkan skuad kebangsaan mengulangi sejarah kegemilangan keera Allahyarham Mokhtar Dahari.

Paling menarik pada perlawanan itu ialah kehadiran sekumpulan kira-kira 300 penyokong setia pasukan Harimau yang menggelarkan diri mereka ‘Ultras Malaya’ di satu sudut berhampiran papan markah stadium.


Mereka tanpa segan membingitkan stadium dengan laungan semangat berapi, menyanyikan lagu patriotik, mengibarkan Jalur Gemilang dan membawa sepanduk tertera kata-kata pembakar semangat buat pemain negara.



Istimewanya Ultras Malaya ini ialah keahliannya terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama memberi sokongan padu kepada pasukan negara setiap kali mereka beraksi.

Buat julung kali, ahli Ultras Malaya dari Sabah dan Sarawak turun ke Stadium Nasional untuk berpadu sorak bersama rakan mereka dari Semenanjung.


Lebih mengharukan, ahli Ultras Malaya bergerak hanya melalui laman web UltrasMalaya.net (UMN) dan kebanyakan mereka tidak mengenali satu sama lain.

Mereka hanya bertemu di stadium ketika bersorak membangkitkan semangat skuad kebangsaan, seolah-olah sudah lama berkenalan.


Mereka bukan saja hadir ke stadium, malah jika pasukan negara beraksi di luar negara, Ultras Malaya akan berkumpul beramai-ramai di beberapa venue seperti kedai mamak atau bistro bagi menyaksikan perlawanan.



Malah prinsip 1Malaysia turut menjiwai Ultras Malaya kerana ia turut disertai remaja Melayu, Cina, India dan kaum lain.



P/s : TAHNIAH buat semua penyokong bola sepak malaysia yang menjadi permain ke-12 dalam squad malaysia ..terusakan perjuangan ..perjuangan belum selesai ..




Monday, December 6, 2010

Takwim Hijrah Semakin jauh di hati generasi muda

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my


APABILA dilontarkan soalan mengenai urutan nama-nama bulan Islam kepada 10 anak muda kini, tidak mustahil sembilan daripada mereka terdiam atau tergagap-gagap menyebut satu demi satu bulan Islam.
Sementara yang seorang lagi pun, mungkin berjaya menamakan bulan-bulan Islam selepas menyanyi perlahan sebuah lagu bertajuk Bulan-bulan Islam nyanyian kumpulan nasyid Alarm Me yang pernah dihafalnya ketika di bangku sekolah.
Bagi kebanyakan anak muda, mereka sekadar tahu nama bulan-bulan tertentu yang melibatkan perayaan seperti bulan Ramadan, Syawal, Muharam dan Zulhijjah.
Senario sebegitu adalah gambaran umum mengenai betapa jauhnya takwim Islam di hati anak-anak muda kini berbanding takwim Masihi yang kita gunakan setiap hari.
Jika ada antara kita yang menghafal bulan-bulan Islam sekali pun, mungkin ada segelintirnya yang tidak tahu mengenai sejarah takwim Islam itu sendiri.
Bila ia bermula dan siapa yang mencetuskan takwim tersebut?
Hijrah Rasulullah
Menurut Ketua Penolong Pengarah Cawangan Falak, Bahagian Penerangan dan Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Che Alias Che Ismail, kalendar Islam ataupun takwim Hijrah dimulakan oleh Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saidina Umar al-Khattab.
Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah telah dijadikan asas kepada penetapan permulaan sambutan Maal Hijrah, kalendar Islam ataupun takwim Hijrah.
Asas pembinaan takwim Islam sebenarnya telah digambarkan di dalam al-Quran iaitu Surah Yunus Ayat 5 yang bermaksud:
‘Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.
‘Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-Nya (tanda-tanda kebesaran-Nya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui hikmat sesuatu yang dijadikan-Nya.'
“Sebelum dilaksanakan penetapan takwim Hijrah ini dan semasa hayat Rasulullah SAW, takwim yang digunakan ialah sistem takwim Qamariyah (sistem hitungan bulan).
“Penentuan tahun pula dirujuk kepada tahun berlakunya sesuatu peristiwa atau kejadian seperti tahun gajah, peperangan al-Fijar, tarikh pembinaan Kaabah dan sebagainya. Cara penetapan sedemikian tidak boleh dijadikan pegangan kerana catatannya tidak menggunakan kaedah yang tetap dan seragam,” jelasnya.
Tambah Che Alias, segalanya bermula pada tahun 17 Hijrah iaitu tahun keenam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Saidina Umar al-Khattab bersetuju dengan cadangan Saidina Ali Abi Talib supaya menjadikan tahun Rasulullah SAW berhijrah sebagai tahun pertama bagi takwim Hijrah.
Saidina Uthman Affan pula mencadangkan supaya bulan Muharam adalah bulan pertama dalam sistem takwim Hijrah walaupun tarikh sebenar Rasulullah berhijrah adalah pada akhir bulan Safar dan tiba di Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiul Awal bersamaan 24 September 622 Masihi.



Tambahnya, bagi meningkatkan kesedaran, pengetahuan mengenai bulan-bulan Islam ini perlu diterapkan pada peringkat pendidikan anak-anak, bermula di peringkat rendah, menengah dan seterusnya ke peringkat tinggi.
“Kini sudah banyak yang menggunakan tarikh-tarikh hijrah sebagai contoh di akhbar-akhbar dan di dalam takwim-takwim yang sedia ada.
“Walaupun sambutan tahun baru Hijrah tidak semeriah tahun baru Masihi, ini tidak bermakna mereka tidak mengenali tahun Hijrah.
“Kita lihat tahun baru Masihi lebih meriah diraikan kerana budaya dan amalan masyarakat berbilang kaum di negara ini mengikut cara sambutannya di seluruh dunia,” ujar Ismail.
Berbeza pengisian
Cara meraikan sambutan tahun baru Islam juga berbeza pengisiannya berbanding tahun baru Masihi yang sinonim dengan pelbagai jenis hiburan yang melalaikan.
“Sebagai mengimbanginya, kita juga meraikan tahun baru Masihi dengan cara mengadakan forum-forum dan acara-acara keagamaan bagi mengingati syiar Islam dan kebesaran Allah.
“Selain itu, sambutan Maal Hijrah juga disambut meriah dengan pelbagai program seperti perarakan, perjumpaan Maal Hijrah di negeri-negeri seluruh negara, pengurniaan Tokoh Maal Hijrah dan sebagainya,” katanya.
Ismail menyarankan, cara terbaik untuk menimbulkan kesedaran mengenai bulan-bulan Islam adalah mengaitkannya dengan peristiwa yang berlaku dalam keluarga seperti pertunangan, perkahwinan, kelahiran dan sebagainya.
Di sekolah pula, takwim Islam mungkin boleh disertakan dengan tahun Masihi bagi mendedahkan generasi muda mengenai takwim Islam.
Selain itu katanya, kalendar-kalendar sepatutnya disertakan dengan tarikh-tarikh Islam kerana di Malaysia takwim Islam sudah ditetapkan sepanjang tahun.

Rahsia di sebalik bulan Muharram

oleh khairole

Tahukah anda apakah rahsia di sebalik bulan Muharram?


Muharram merupakan bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Hijrah Rasulallah dari Mekah ke Yathrib kiraan bulan dibuat mengikut tahun masihi. Hijrah Rasulullah telah memberi kesan besar kepada Islam samada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.Pada asasnya, Muharram membawa maksud “diharamkan” atau “dipantang” iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Mekah. (Al Baqarah 91).Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan tersebut.

Peristiwa-peristiwa penting:

1. 1 Muharram – Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
2. 10 Muharram – Dinamakan juga hari “Asyura” pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah dari menegakkan keadilah dan kebenaran.

Pada 10 Muharram juga telah berlaku:

1. Nabi Adam bertaubat kepada Allah
2. Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
3. Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama 6 bulan
4. Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud
5. Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa
6. Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara
7. Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah
8. Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya
9. Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam
10. Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun
11. Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah
12. Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar
13. Hari pertama Allah menciptakan alam
14. Hari Pertama Alllah menurunkan rahmat
15. Hari pertama Allah menurnkan hujan
16. Allah menjadikan ‘Arasy
17. Allah menjadikan Luh Mahfuz
18. Allah menjadikan alam
19. Allah menjadikan Malaikat Jibril
20. Nabi Isa diangkat ke langit

Diantara amalan yang disunatkan dalam bulan Muharaam iaitu:

1. Berpuasa.
Maksud Hadis: barang siapa berpuasa satu hari dalam bulan
Muharram pahalanya seumpama berpusasa 30 tahun.
Maksud Hadis:Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam
bulan Muharram iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah
tulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun.
2. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.
3. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijjah selepas Asar sebanyak 3X
4. Berdoa awal tahun pada 1 Muharram selepas Maghrib 3X

14 perkara yang sunat dilakukan pada hari Asyura (10 Muharram )

1. Melapangkan masa / belanja anak isteri
fadhilat – Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.
2. Memuliakan fakir miskin
fadhilat – Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti
3. Menahan marah
fadhilat – Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang ridha
4. Menunjukkan orang sesat
fadhilat – Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya
5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim
fadhilat – Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi
tiap-tiap rambut yang di sapunya.
6. Bersedekah
fadhilat – Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor
gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi
pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.
7. Memelihara kehormatan diri
fadhilat – Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.
8. Mandi Sunat
fadhilat – Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itu
lafaz niat : sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.
9. Bercelak
fadhilat – tidak akan sakit mata pada tahun itu
10.Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali
fadhilat – Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat
nanti
11 Sembahyang sunat empat rakaat
fadhilat – Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan
selama 50 tahun melakukannya.
lafaz niat : sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat
kerana Allah Taala. Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di
baca Qulhuwallah sebelas kali.
12 Membaca
“has biallahhu wa nik mal wa keel, nikmal maula wa nikmannaseer”
fadhilat – Tidak mati pada tahun ini
13.Menjamu orang berbuka puasa
fadhilat – Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.
14.Puasa
Niat – Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala.
fadhilat – Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan seribu
kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Semoga bermanfaat dan dapat dipanjangkan kepada yang lain-lain.

Mencari makna baru di sebalik peristiwa hijrah

GENERASI muda Islam perlu dilengkapkan dengan ilmu dunia dan akhirat untuk menjadi insan cemerlang. Ummah mesti jadikan sejarah penghijrahan, perjuangan Rasulullah pencetus kejayaan.

SEBAGAI junjungan besar yang sentiasa diagungkan oleh umat Islam, segala detik peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sentiasa dianggap penting dan bermakna oleh masyarakat Islam.

Nabi Muhammad, bagi mereka bukan manusia biasa yang boleh diletakkan beriringan dengan sosok lain dalam sejarah kemanusiaan. Baginda adalah rasul junjungan dan insan kamil yang diutus Allah SWT bagi menzahirkan kesempurnaan akhlak manusia.

Baginda manusia paling tinggi martabat kerohaniannya dan paling disayangi Allah SWT. Walaupun Baginda seperti manusia lain, hadir dalam latar lingkungan sejarah dan geografi tertentu, peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan Baginda tetap mengungkapkan pengajaran sejagat yang sentiasa abadi dan segar kepada diri setiap Muslim.

Begitu juga peristiwa hijrah yang dilalui Nabi Muhammad SAW. Ia adalah detik perpindahan dakwah Nabi daripada peringkat pertama di Makkah yang penuh mihnah pesona serta cabaran yang amat mencengkam ke tahap mengancam nyawa Baginda sendiri, ke peringkat kedua di Madinah yang lebih meluas ruang dakwahnya serta menjanjikan cahaya kemenangan.

Dari segi pensyariatan agama, hijrah adalah dasawarsa baru dalam pelaksanaan undang-undang agama yang lebih berasaskan muamalah dan kemasyarakatan berbanding peringkat Makkah yang lebih tertumpu kepada pengukuhan akidah serta pandangan alam Islam. Namun, di sebalik dimensi sejarah yang selalu diulang sama ada dalam pengajian sirah atau pada siri ceramah maal hijrah, peristiwa ini sesungguhnya menyampaikan kita kepada beberapa pengajaran lebih mendalam dan amat terkait untuk kehidupan sekarang.

Antara hikmah penting di sebalik peristiwa hijrah yang harus diteladani terutama umat Islam zaman ini yang berdepan pelbagai fitnah dan cabaran ialah gambaran sikap realistik serta kebijaksanaan nabi apabila berdepan cabaran dan ancaman semasa.

Di samping hakikat bahawa Nabi Muhammad SAW ialah insan terpilih dan terbaik di kalangan seluruh makhluk Allah, insan yang mustajab doanya dan dikurnia mukjizat, kehidupan nabi juga seperti manusia lain menurut sunnatullah yang tidak lari daripada cabaran dan pedih getir kehidupan. Dengan kata lain, kehidupan Nabi Muhammad SAW juga terikat dengan batasan manusiawi yang terpaksa melalui pelbagai ranjau perjuangan hidup. Inilah yang terjelma antara lain daripada peristiwa hijrah Baginda apabila sunnatullah mengajar golongan lemah walaupun amat sukar mengalahkan pihak lebih kuat terutama yang mempunyai persediaan.

Sebagai golongan yang baru muncul, kecil jumlahnya dan kurang persiapan, tekanan serta ancaman yang ditujukan kaum Musyrikin di Makkah ternyata terlalu kuat untuk dihadapi Baginda dan umat Muslimin ketika itu. Justeru, perpindahan dari Makkah bagi menyelamatkan golongan Muslimin tidak dapat dielakkan.

Nabi Muhammad SAW perlu mencari ruang dan kekuatan baru di Madinah untuk memperkukuhkan kedudukan agama Islam. Apakah noktah pengajaran yang dapat diambil masyarakat Islam sekarang daripada hakikat hijrah Baginda?

Jika Nabi Muhammad SAW insan terpilih yang dikurniakan Allah SWT pelbagai bentuk mukjizat menyedari hakikat bahawa Baginda harus bertindak berdasarkan waqi’ semasa, berdasarkan kekuatan dan kelemahan manusiawi, umat Islam dewasa ini pasti harus lebih menyedari mengenai waqi’ kehidupan yang melingkungi mereka. Secara umumnya, masyarakat Islam memang berada dalam keadaan lemah. Dilihat dari segi fizikal dan ketenteraan, kekayaan ekonomi, malah kesatuan, mereka agak tertinggal berbanding masyarakat lain terutama Barat.

Namun, ada sekelompok masyarakat Islam yang gagal menyedari hakikat ini lantas bertindak seolah-seolah mereka berada di dalam keadaan yang kuat. Mereka mengambil tindakan di luar batasan waqi’ semasa yang ada pada masyarakat Islam. Ini merujuk tindakan sekelompok umat Islam yang mengebom, menculik serta membunuh membabitkan manusia tidak berdosa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Kita tidak menafikan sebahagian peristiwa itu adalah tindak balas terhadap tindakan politik yang dilakukan kuasa besar terhadap beberapa negara Islam atau perencanaan pihak tertentu.

Namun, cara bertindak yang dilakukan ternyata tidak menguntungkan masyarakat Islam keseluruhan terutama apabila dilihat dari sudut kekuatan ummah dan kesediaan mereka menghadapi tindakan balas jika berlaku.

Kita lihat sebahagian besar tindakan seperti ini sekadar mengundang tindakan balas lebih buruk kepada masyarakat Islam seperti di Afghanistan dan Iraq. Paling penting tindakan ini turut menggambarkan kerangka pemikiran ekstrem hasil kekeliruan mengenai ajaran Islam.

Di sinilah pentingnya pengajaran peristiwa hijrah yang merakamkan Nabi Muhammad SAW bertindak berdasarkan kekuatan dan kemampuan Baginda apabila mengambil keputusan untuk melakukan hijrah. Dengan kata lain, peristiwa hijrah memberi iktibar bahawa kita harus mengumpul kekuatan dan tidak bertindak menzahirkan kekuatan sebelum masanya, apatah lagi bertindak di luar kebijaksanaan. Sesungguhnya ini antara makna hijrah baru yang harus kita manfaatkan dalam realiti kehidupan sekarang.

Dengan menyedari bahawa umat Islam berada dalam keadaan lemah bukan bermakna kita pasrah dengan keadaan yang ada. Di samping ingatan bahawa umat Islam harus terus memperbaiki kelemahan mereka dan mempersiapkan kekuatan fizikal seperti disaran al-Qur’an, seperkara yang juga penting ialah hakikat kekuatan Islam sebenarnya masih boleh dijelmakan dalam pelbagai dimensi lain.

Misalnya umat Islam masih kuat dan kukuh dari segi kepercayaan agama dan akhlak, terutama dalam menolak fahaman yang bertentangan dengan agama. Berbanding Islam, sebahagian agama lain misalnya, sudah berkompromi dan mengorbankan doktrin agama mereka dengan membuka pintu kepada kemasukan aliran asing seperti sekularisme dan sinkretisme.

Disebabkan kelemahan sistem kepercayaan mereka, agama terbabit mengubah dasar dan kepercayaan bersesuaian dengan ideologi berkenaan. Namun, Islam berkat kekuatan pendidikan agama dan pertahanan ilmiah yang dilakukan ilmuwannya sepanjang zaman masih kukuh bertahan daripada ancaman aliran pemikiran asing.

Kekuatan Islam ini harus dipertahan dan diperkukuhkan melalui pendidikan yang betul tanpa semestinya membabitkan penzahiran dari segi kekuatan fizikal dan ketenteraan. Dari segi strategi, umat Islam memang lemah kekuatan fizikal, seharusnya mereka menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan aspek keilmuan dan pendidikan.

Tindakan ini juga adalah jihad besar dan harus dilakukan dengan gigih dan serius, malah ia juga ‘peperangan’ yang membabitkan persediaan kekuatan dari segi intelektual dan keilmuan. Jika kita prihatin terhadap pembunuhan dan serangan ke atas negara Islam oleh kuasa Barat, kita juga harus lebih prihatin terhadap serangan pemikiran asing yang ‘mengorbankan’ dan mengelirukan jutaan masyarakat Islam.

Peperangan inilah yang nampaknya banyak dilupakan sebahagian masyarakat Islam apabila kerangka berfikir mereka amat tertumpu kepada penyelesaian daripada aspek siasah dan ketenteraan. Jika ditinjau dari segi sejarah, aspek inilah yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun. Zat kepada kekuatan Islam, dengan kata lain ialah kekuatan kepercayaan dan keilmuan. Mungkin ini antara makna dan rahsia hijrah yang harus diingatkan kepada masyarakat Islam. Hijrah bukan sekadar berpindah kepada suasana baru, malah juga mengembalikan diri kita kepada suasana yang kita sudah pun berada sebelumnya.

Jika sebelum ini tamadun Islam terletak kepada kekuatan iman dan ilmu, marilah kita berusaha berhijrah dengan mengembalikan kekuatan itu kepada umat Islam.

- Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)